Tanggal Ogos 1, aku akhirnya selesai melalui tempoh berpantang selama 44 hari. Pengakhiran tempoh berpantang, aku raikan dengan Majlis Cukur Jambul dan Aqiqah buat puteriku, Iman Qistina. Alhamdulillah...semuanya berjalan lancar. Terima kasih aku ucapkan kepada semua tetamu yang hadir dan mereka yang banyak membantu dalam merealisasikan majlis ini.
Mengingati 44 hari yang lalu, dalam diam aku panjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana akhirnya aku bergelar seorang ibu. Tepat jam 3.00 pagi tanggal Jun 19 2010 aku melahirkan Iman Qistina secara forcep. Benar kata ibu, kesakitan yang dirasai semasa hendak melahirkan anak adalah satu pengorbanan yang amat besar. Merasai sendiri sakit hendak bersalin dan melalui proses melahirkan, membuatkan aku insaf atas segala kekhilafanku selama ini terhadap ibu...
Kini...aku semakin tidak sabar untuk melihat Iman Qistina membesar dan memanggilku dengan panggilan 'umi'. Keletahnya juga hari demi hari membuatkan kami yang berada disekelilingnya sentiasa tersenyum dan ketawa. Dia kelihatan seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dan akan memandang ke arah kamera bilamana aksinya mahu dirakamkan.
Doa dan harapanku, moga Iman Qistina membesar menjadi anak yang solehah, bijak, pandai dan disenangi semua. AMIN...
{♥}blogged by semara suci @ 12:09:00 AM{♥}