Hari ini mengingatkan aku pada tarikh yang sama, sebulan yang lalu, Jun 26. Kisah duka, sedih dan pilu yang mencengkam hati, adakalanya menjadi igauan ngeri dalam lenaku. Perasaan hiba dan suara tangis masih menjadi peneman setia. Ada ketika, aku lupa bahawa tiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada sebab musababnya. Kadang kala, aku seakan mengerti, apa yang berlaku adalah sebahagian dari ujian Tuhan...kerana sebagai hambaNYA, kita tidak terlepas dari diuji.
Segala kisah duka yang kulalui juga sedikit sebanyak menjadikan aku seorang insan yang tabah. Aku juga mengerti, bahawa memberi kemaafan itu memang sukar untuk dilakukan apatah lagi jika kesalahan itu amat menyakitkan. Namun, bukankah kemaafan itu adalah dendam yang terindah? Aku akur dengan kata-kata ibuku, "bersabarlah, kerana orang yang bersabar akan merasa kemanisannya suatu hari nanti".
{♥}blogged by semara suci @ 2:45:00 PM{♥}
Dua minggu telah berlalu dari peristiwa yang hampir memusnahkan seluruh jiwaku. Pandanganku tetap sama. Perasaan ku juga begitu...kosong...sepi...Tiada perubahan besar. Aku tahu, aku tidak sepatutnya meminta secara berlebihan kerana tidak semua manusia itu sama, mampu melakukan perubahan secara drastik. Namun, aku tau, sebagai manusia juga, aku harus berani memberi peluang dan membuka ruang buatnya. Apa pun terpulang kepada 'dia' untuk mengutip segala peluang yang ada dan memenuhi ruang dengan sebaik mungkin.
Berbekalkan sisa kekuatan, aku kutip semula semangatku yang hampir lebur, aku baiki jiwaku yang hancur. Mujur TUHAN masih menyayangiku...Aku bersyukur dengan apa yang kumiliki. Di saat aku hampir rebah, ramai yang menghulurkan tangan untuk menyambutku dari tersungkur. Buat keluarga dan teman-teman terakrab, terima kasih atas perhatian dan kasih sayang kalian. Aku amat menghargainya. Doaku, moga semangatku semakin kental dan keimananku menebal untukku terus tenang dan sabar dalam menempuhi hari-hari yang mendatang. Doaku juga, agar 'dia' turut diberikan hidayah olehNYA dalam melakar sebuah kehidupan yang lebih bermakna.
{♥}blogged by semara suci @ 6:10:00 PM{♥}