Pagi minggu yang sibuk, selesai mengendalikan kerja-kerja rumah, aku terus menyiapkan diri untuk ke majlis kenduri doa selamat di rumah mak cikku. Ibuku dan Iman dari malam tadi lagi dah ke sana. Jam 10.30 pagi aku memulakan perjalanan. Dalam perjalanan, aku singgah di Maybank Setia Alam. Melihatkan di luar pintu bank ada seorang lelaki yang mengutip derma untuk anak-anak yatim, membuatkan langkahku terhenti. Teringat majalah yang ku baca kelmarin di sekolah. Kata penulis rencana itu, sebaik mana pun amalan seorang wanita, si suami mestilah menghulurkan sedekah dengan diniatkan bagi pihak isterinya. Ini kerana apabila wanita mengalami haid, maka dia tidak melakukan solat dan berpuasa.Inilah bukti kekurangan dalam agamanya. (Riwayat al-Bukhari 298)
Justeru, di bahu para suamilah letaknya tanggungjawab untuk menyelamatkan isterinya. Inilah yang dinamai sedekah cinta. Jika benar begitu, apakah 'dia' tahu akan peranannya. Kerana dia juga sepatutnya menjaga kebajikan dan memberi didikan agama pada Iman...Sebelum meneruskan perjalanan ke Port Klang, lelaki yang mengutip derma itu aku dekati. Ku hulurkan sedikit wang sebagai sedekahku. Padanya ku katakan, usahlah berterima kasih kerana rezekiku ini datangnya dari DIA yang perlu aku kongsikan bersama mereka yang memerlukan. Pintaku, doakan sahaja yang terbaik buat aku dan puteriku, Iman Qistina. Bersama deraian air mata, aku meneruskan perjalanan. Tidak sabar rasanya ingin memeluk Iman.
{♥}blogged by semara suci @ 10:46:00 PM{♥}