Oktober 10 yang kukira tarikh yang ingin ditakluki oleh semua orang sebagai satu angka yang boleh menyimpan sejuta kenangan yang indah. Begitu juga aku. Pada mulanya, tarikh ini kutunggu tanpa penat menghitung sambil akal fkirku tanpa jemu mengatur agenda. Ingin sekali aku lakarkan satu memori terindah pada tarikh ini bersama 'dia' dan puteriku, tapi sayang...yang tinggal kini hanya angan-angan.
Mengisi ruang hujung minggu, akalku sarat dengan persoalan tentang hala tuju kehidupanku. Menjarakkan fikiran ini dari memikirkan apa yang telah terjadi? Kenapa ini semua harus terjadi? Kenapa ia harus terjadi dalam hidupku? Aku memulakan langkahseterusnya dengan membaca buku yang aku beli semalam. Ntah kenapa, ketika sedang membelek buku-buku di MPH, hatiku seakan tertarik dengan kata-kata yang tertera di kulit hadapan buku ini.
ALLAH itu amt hampir
Tapi, kenapa aku masih meminggir?
Akalku alpa berfikir, hatiku lupa berzikir...
(Pahrol Mohd Juoi)
Benar, saat ini ketika hatiku mula pecah menjadi kepingan-kepingan kecil, barulah aku sedar, hanya DIA yang boleh membantu aku. Hanya DIA tempat mengadu. Hanya DIA yang mengetahui segalanya. Walaupun aku tidak pernah lupa untuk bersujud padanya setiap hari, tapi mungkin amalanku masih banyak yang kurang menjadikan aku sering mempersoalkan kenapa itu? Kenapa ini? Kenapa begitu, begini?Berdosakah aku?
Kata seorang teman, jangan asyik mempersoalkan kenapa? Kenapa dan kenapa? Tapi teruslah dekatkan diri kepadaNYA tanpa berputus asa memohon segala kebaikan. Hanya sabar yang akan membuah sesuatu yang terindah. TUHAN MAHA ADIL...tidak selamanya hidup kita dalam gelita. Bila dan ketikanya hanya DIA yang tahu. Sabar sajalah...kerana yang indah, yang manis itu akan tiba juga. Ubatkan juga hati dengan zikir, katanya. Basahilah bibirmu dengan berzikir sebagai memulakan hari baru usai menunaikan Solat Subuh.
Mendengar kata-katanya sambil membaca buku motivasi hasil tulisan Pahrol Mohd Juoi, akalku mula bekerja semula. Tapi kali ini dalam suasana baharu. Bukan niat di hati ingin melupakan apa yang telah terjadi, tapi kukira buat masa ini, inilah yang terbaik buatku. Meneruskan langkah bersama sisa kekuatan sambil membina keyakinan baharu untuk aku membesarkan puteriku, Iman Qistina. Moga DIA sentiasa ada di hatiku....
{♥}blogged by semara suci @ 7:27:00 PM{♥}