Duduk berehat-rehat selepas menikmati sarapan pagi, membuatkan fikiranku terus berfikir mengingati cerita Cina yang bertajuk 'All About Love' yang ditayangkan menerusi saluran ntv7 malam tadi. Cerita Cina lakonan aktor Hong Kong yang kuminati, Andy Lau bergandingan bersama Charlie Yeung dan Charlene Choi.. Cerita yang mengetengahkan persoalan kejujuran, keikhlasan dan kasih sayang dalam CINTA.
Di mana dalam cerita ini Andy Lau memegang 2 watak, pertama sebagai Dr Ko dan yang kedua sebagai pereka fesyen yang bernama Derek. Kedua-dua mereka mempunyai isteri, mereka juga digambarkan sebagai lelaki yang penyayang. Bezanya Dr Ko sering menunjukkan kasih sayangnya terhadap isteri (Charlene Choi), jujur dalam hubungan perkahwinan, manakala Derek pula walaupun penyayang, tetapi sering meminggirkan isteri (Charlie Yeung) dalam banyak perkara atas alasan tidak mahu menyusahkan isterinya yang merupakan seorang pesakit jantung. Apa sahaja yang dilakukan sering dirahsiakan dari isterinya.
2 jam melayan cerita ini membuatkan fikiranku di asak dengan pelbagai persoalan mengenai CINTA. Masih adakah lelaki penyayang yang sentiasa mempamerkan kasih sayangnya buat si isteri? Jika benar seorang lelaki itu menyayangi isterinya, mengapa harus dipinggirkan? Mengapa mesti ada rahsia antara mereka? Bukankah menjalani kehidupan suami isteri seharusnya tiada perkara yang perlu dirahsiakan?
Klimaks cerita ini membuktikan bahawa aku benar-benar seorang perempuan yang beremosi. Peristiwa sedih dalam kehidupan Dr Ko, meruntun jiwaku sehingga aku menitiskan air mata. Kematian isterinya dalam kemalangan merupakan selembar cahaya dalam kehidupan isteri Derek, di mana jantung isteri Dr Ko didermakan kepada beliau. Hari-hari seterusnya digambarkan bahawa Dr Ko melaluinya dengan penuh kesedihan dan sentiasa mengingati kenangan antara beliau dan isterinya.
Pada pendapatku, isi cerita ini adalah citra sebuah kehidupan. Ia lazim berlaku dalam kehidupan manusia tanpa mengira usia dan darjat. Memang indah menjalani kehidupan yang bersulamkan cinta dan kasih sayang. Tapi...masih wujudkah lelaki seperti Dr Ko??? Teringat pada kata-kata seorang teman, CINTA yang hakiki adalah untuk TUHAN yang satu. Tetapi selagi masih hidup, selagi masih bernafas, selama itulah dia akan terus mencari CINTA dari seorang lelaki yang mampu memberikan kebahagian hingga ke akhir hayat.
Hari ni, sekolah aku cuti lagi, setelah semalam kembali ke sekolah seperti biasa. Cuti kerana kaum Cina ada upacara sembahyang pada jam 12.00 tgh tadi. Kebiasaannya pada waktu-waktu cuti begini, aku mengisi masa dengan menulis buku ringkasan mengajar, memikirkan apakah ABM yang harus kugunakan semasa proses P&P dijalankan dan bagaimanakah bentuk latihan yang akan kuberikan kepada murid-muridku. Bukan apa...benda-benda ni semua harus disediakan mengikut aras & tahap pemahaman muridku. Aku tahu, adakalanya, apa yang kusediakan tidak di manfaatkan sebaik mungkin. Tapi aku percaya, tidak semua murid bertingkah laku begitu. Nawaituku cuma 1, moga apa yang kusampaikan dapat mereka fahami. Walaupun tidak 100% tapi ilmu itu tetap sampai kepada mereka & boleh mereka praktikkan dalam kehidupan seharian.
Doaku padaMU...semoga hatiku sentiasa berada dalam keikhlasan terhadap apa jua yang kulakukan dan mendapat keberkatanMU. AMIN...