Belum pun seminggu Syawal hadir, hidupku terus-terusan dirundung duka. Rasa-rasaku baru sahaja aku ingin bernafas dengan baik melepaskan lelah yang telah lama bermukim di hulu hati. Harapanku dengan kehadiran Syawal kali ini akan memberi sinar dan sejuta nafas baru dalam hidupku. Dengan hadirnya Syawal juga aku amat berharap agar segala resah dan gelisahku terbang di bawa angin lalu. Tapi... begitulah lumrah kehidupan. Aku hanya merancang, TUHAN yang menentukan segala-galanya. Aku akur dengan ujian ini. Lagipun yang buruk itu datangnya dari kita sebagai manusia...yang baik pula datangnya dari PENCIPTA.
Melihat dari sudut positif, aku sebenarnya boleh dikira amat bertuah. Ketika dugaan datang bertimpa-timpa, aku tidak keseorangan. Keluarga dan rakan sering menjadi peneman...Menghulurkan kata-kata semangat, nasihat dan turut sama berdoa agar musibah ini berakhir dengan segera. Memujuk hati yang rawan, aku memotivasikan mindaku dengan nasihat seorang rakan, "Segala yang kita ada didunia ini hanyalah pinjaman. Hari ini TUHAN bagi, esok lusa akan diambil semula. Begitu juga dengan rasa cinta dan kasih sesama manusia. Soal hati tidak boleh dipaksa. Hanya doa sahaja yang mampu menjadi tambatan mengukuhkan hati dan perasaan agar tak lapuk dek zaman"...
{♥}blogged by semara suci @ 11:47:00 PM{♥}